Daurah Tafsir 2017

Daurah Tafsir adalah Daurah bertalaqi selama 42 hari di jertih dan mendalami 114 surah Quran (dari kulit ke kulit).

Daurah ini belajar keseluruhan Quran dan mengetahui ayat mana yang patut kita tahu asbabulnuzulnya, nasakh mansukhnya, ayat pujukan untuk nabi (dan juga utk kita), tujuan penciptaan kita, nilai dunia dan akhirat, jemputan Allah ke syurgaNya, Tauhid dan syitik, risalah dan bidah dan banyak lagi (yang juga kita tak terfikir).

InsyaAllah bila kita memahami Quran dengan sebenar, hidup kita bakal merubah nak ikut apa yang Quran katakan, bukan masyarakat katakan.

PENGAJIAN DAURAH TAFSIR 30 JUZUK AL QUR’AN
PONDOK DARUL ULOOM LAKLOK
BERSAMA AL FADHIL MAULANA HJ ABDUL HADI BIN YA’AKUB

Pengajian Daurah Tafsir 30 Juzuk Al Qur’an telah bermula pada tahun 2008 dan hanya terbuka kepada para pelajar yang telah mempelajari tafsir Al Quran dan ilmu Hadis. Kemudian Program Daurah ini dibuka kepada umum mulai pada tahun 2012. Program Daurah Tafsir ini disampaikan sendiri oleh Mudir Pondok Darul Uloom Laklok, iaitu Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi bin Hj Ya’akub.

Program yang dijalankan pada setiap tahun ini terbuka kepada semua peringkat masyarakat tanpa mengira asas pengatahuan, darjat dan pangkat. Ianya disertai oleh para Asatizah yang telah menamatkan pengaian diperingkat tertinggi sehingga anak yang baru mengenali Al Qur’an. Dalam program yang telah dijalankan, ianya telah disertai oleh seorang pengusaha kebun sehingga para professional, pengarah dan persara penjawat awam.

Program Daurah Tafsir ini dijalankan selama 42 hari secara berterusan bermula dari 15 Syaban hingga 27 Ramadhan setiap tahun.

Program Daurah tafsir ini dijalankan sepertimana program Daurah Tafsir yang di jalankan di Badrul Uloom Rahim Yar Khan, Pakistan dan disesuaikan mengikut keperluan tempatan. Sepanjang Daurah Tafsir ini, Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi akan menyampaikan dan mensyarahkan isi kandungan 30 Juzuk Al Qur’an mengikut tertib yang telah digariskan.

Pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian Daurah Tafsir ini dengan memenuhi syarat akan dikurniakan dengan Sanad Pengajian.

LATARBELAKANG AL FADHIL MAULANA HJ ABDUL HADI BIN YA’AKUB,
MUDIR PONDOK DARUL ULOOM, LAK LOK JERTIH, TERENGGANU
DAN PENGAJIAN TAFSIR YANG DIJALANKAN

Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi bin Hj Ya’akob beliau berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Dilahirkan di Kg Lembah, Cherang Ruku@Semerak, Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1965. Beliau boleh diumpamakan sebagai permata di dasar laut yang walaupun alim (berilmu) tetapi tidak dikenali ramai. Beliau sendiri tidak menonjolkan dirinya sebagai seorang yang alim dan menolak tawaran dan jawatan duniawi.

Beliau menginfakan dirinya untuk menyebarkan kalamullah kepada seluruh ummat. Menyeru kepada mentauhidkan Allah berdasarkan Al Qur’an dan Sunnah, menolak syirik dan bid’ah.

Semenjak Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi memulakan pengajian agama menengah beliau di Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan, beliau telah menunjukkan kesungguhan mendalami ilmu agama sehingga keperingkat yang tinggi. Selepas tamat Pengajian di Maahad Muhammadi, beliau telah bermusafir untuk meneruskan pelajaran di Karachi, Pakistan dalam bidang Tahfiz Al Qur’an di Darul Uloom Karachi. Kemudian meneruskan pengajian Ulum Syariah di Jamiatul Uloom Islamiyyah Allamah Yusof Binnori hingga tamat Dauratul Hadith. Disini beliau pernah dinobatkan sebagai pelajar kedua terbaik seluruh Pakistan bagi keseluruhan pengajian.

Kemudian beliau menyambung pula pelajaran di Syah Waliyullah Academy di Hyderabad Sindh Pakistan, takasus dalam Kitab Hujjatullah al Balighah karangan Imam Al-Kabir Sheikh Ahmad Abdur Rahim Ibn As-Shahid Wajihuddin Ibn Mu’azzam Ibn Mansur Ibn Mahmud Dahlawi yang lebih dikenali dengan gelaran Shah Waliyullah ad Dehlawi. Beliau memperolehi Sanad kitab Hujjatullah al Baalighah dan lain-lain kitab Syah Waliyullah ad Dehlawi melalui gurunya, Maulana Ghulam Mustoffa al Qosimi as Sindhi, Pengarah Syah Waliyullah Academy pada ketika itu.

Beliau mempunyai Tujuh (7) Sanad Pengajian Tafsir Al Quran yang berbeza. Salah satu antaranya beliau telah menghadiri beberapa siri Daurah Tafsir Al Qur’an dan mendapat Sanad Tafsir di Badrul Uloom Rahim Yar Khan. Pakistan. Guru beliau Mufti Muhammad bin Abdul Ghani ialah Mudir dan juga Syeikhul Hadith di Jamiah Islamiyyah Badrul Uloom Hammadiyah, Rahim Yar Khan, Pakistan. Salsilah atau sanad ilmu tafsir yang beliau miliki melalui pengajian ini adalah berdasarkan carta dibawah.

Keadah pengajian di Badrul Uloom inilah yang beliau adaptasikan untuk Pengajian Daurah Tafsir di Pondok Darul Uloom, Lak Lok.

Setelah kembali dari Pakistan, sepanjang Ramadhan mulai tahun 1998 sehingga tahun 2003, Maulana Hj Abdul Hadi juga secara khusus mempelajari Feqah Mazhab Asy Syafie, terutama Kitab Tahrir karangan al Imam Zakaria Ansori dengan berguru bersama Baba@Tuan Guru Hj Zakaria atau lebih dikenali dengan panggilan Chik Ya Pondok Posan, yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Fatwa Pattani.

Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi pernah berkhidmat mengajar selama kira-kira 4 tahun di Madrasah Markaz Yala Selatan Thailand sebelum membuka madrasah@pondok sendiri di Jerteh, Terengganu.

Bermula di Surau Kg Tok Kundur, Bukit Kenak pada tahun 1999, beliau kemudian berpindah dah membuka Pondok Darul Uloom di Kg LakLok, Jerteh pada tahun 2001. Bermula dengan pelajar-pelajar tafiz Al Qur’an, beliau telah berjaya melahirkan asatizah yang memahami dan menguasai ilmu tauhid berdasarkan Al Qur’an dan Sunnah serta berjaya membimbing pelajar-pelajar biasa yang dapat menjadi murrabi ummah.

Pendorong utama kepada kejayaan pengajian dan pengajaran Maulana Hj Abdul Hadi adalah arwah Ayahanda beliau sendiri dan Maulana Nik Mohamad, yang beliau anggap seperti abangnya sendiri.

Continue Reading